Ahad, 1 Julai 2012

Melawat Putrajaya Floria 2012


Pintu masuk utama ke Pameran Floria 2012
Bunga dan landskap adalah salah satu dari cabang hortikultur. Keindahan kedua-duanya bersifat subjektif kepada individu tertentu. Namun, asas nilai estatik pada bunga dan landaskap mestilah ada.

Saya telah mengambil kesempatan melawat Putrajaya Floria 2012 semalam. Al-maklumlah, kalau nak melawat tempat-tempat pameran hortikultur lebih berbaloi untuk 3 hari pertama. Takut bunga layu jika lewat lawat. Dengan faktor cuaca yang kini panas, saya yakin bunga akan cepat layu.

Mengikut website Floria 2012, pesta Floria 2011 tahun lepas mencapai jumlah kunjungan lebih daripada 1 juta pengunjung dari pelbagai tempat. Untuk tahun ini, mereka mensasarkan lebih dari tahun lepas. Setiap kawasan disusun menarik untuk pengunjung lawati. Boleh rujuk peta yang telah disediakan.

Rekaan landskap rumah tradisional Melayu bersama pokok-pokok bunga kertas di halamannya.
Jika tahun lepas temanya bunga ros, kali ini bunga kertas (bougainvillea) pula mengambil alih. Pelbagai varieti dan kultivar bunga kertas dipamerkan. Dapat saya lihat bunga kertas daripada yang biasa kita lihat sehinggalah yang jarang dilihat. Dengan bentuk dan warna yang pelbagai, memang bunga kertas mungkin boleh menjadi penawan pandangan pengunjung.


Walaupun begitu, orkid masih mendapat tempat di hati pengunjung. Saya lihat ramai pengunjung menumpukan lensa kamera mereka pada bunga orkid. Jarang sekali saya lihat mereka bersantai lama di hadapan bunga kertas. Agaknya mereka sudah bosan dengan bunga kertas? Kerana terlalu biasa dilihat sekitar rumah di Malaysia ini. Nampaknya tema 'Bunga kertas - Tetap Menawan' tidak dapat menambat hati pengunjung di sini sepenuhnya.

Setahu saya, bunga kertas keunikannya terletak pada sifat pokoknya yang mudah untuk dicantumkan. Bermakna satu pokok boleh dicantumkan pelbagai varieti. Ini boleh membuatkan bunga kertas itu nampak unik. Pokok bunga kertas juga boleh dijadikan sebagai pokok bonsai. Sifatnya yang saka, iaitu tumbuh sepanjang tahun, membolehkan ia menjadi teman setia penggemar bonsai di dalam pasu mereka. Tambahan pula ia boleh menjadi pokok penghias pagola.

Pokok bunga kertas boleh membesar seperti pokok balak. Buktinya, sahabat saya bercerita bahawa di kampungnya, terdapat satu pokok bunga kertas yang besarnya dua pemeluk. Hanya bunga yang selalu dilihat olehnya berguguran di sekitar pokok itu. Nampaknya, kalau bunga kertas itu telah dicantumkan dengan pelbagai bunga, pasti ia cantik menjadi pokok hiasan di halaman rumah.

Di Floria ini juga terdapat jualan nurseri dari kawasan sekitar Selangor. Ada pokok buah dan bunga dijual di sini. Bagi yang suka pokok bunga, mungkin boleh datang membeli di sini. Dari segi harga, saya tak dapat nak komen sangat sebab kurang tahu harga pasaran sesuatu pokok itu. Kalau fungsinya, mungkin saya boleh terangkan berdasar apa yang telah saya baca di buku-buku hortikultur. Yang pasti ada sesetengah pokok jualan boleh didapati di Pusat Jualan UPM yang lebih murah harganya berbanding di Floria ini.

Terdapat satu nurseri yang menjual kaktus. Saya singgah sebentar untuk melihat. Harga yang ditawarkan tidak menarik minat saya untuk membeli. Tambahan pula pilihannya juga sedikit. Kalau di Cameron Highland, saya boleh membeli 7-8 pokok kaktus pelbagai spesis hanya dengan harga RM10.

Kaktus mampu memberi nilai estatik yang tinggi untuk sesuatu kawasan atau laman
Jualan pokok bunga unik.

Ada juga jualan baja organik. Banyak syarikat baja mempromosikan 'baja organik'. Nak menyelamatkan alam sekitar kononnya. Bagi saya, penggunaan baja organik dan baja kimia adalah sama sahaja. Malahan baja kimia lebih elok untuk tanaman berbanding baja organik. Cuma pada tanah, baja organik memenangi perbandingan ini. Nanti akan saya huraikan kenapa perlu penggunaan baja organik dan kimia dan bukannya organik sahaja dalam entri blog saya yang lain.

Tak lengkap jika saya hanya lihat pameran bunga sahaja. Kerana bunga 'dan landskap' menjadi pelengkap kepada istilah hortikultur. Hiasan dan rekabentuk landskap yang dipamerkan cukup menarik. Bunga yang dihias disekitar landskap pameran mampu menonjolkan nilai estatik rekaan landskap tersebut. Ada yang memilih untuk tema warna sedondon. Hampir semua bunga berwarna sedondon. Ada pula yang memilih warna kontra seperti biru gandingannya merah. Malahan ada pula yang memilih untuk menghias laman mereka dengan warna-warni pelangi.

Antara hiasan unik penyu dan merak.
Wajib ada bunga kertas bagi setiap hiasan landskap yang dipamerkan. Bunga kekwa berteraburan menghiasi taman sekitar. Ia boleh bertahan selama 2 minggu jika betul jagaannya.

Sememangnya Floria 2012 boleh menjadi sumber inspirasi bagi penggemar hiasan landskap. Gubahan-gubahan kreatif yang dipamerkan mampu membuka mata yang memandang.

Apa yang pasti, semuanya nampak ceria dan hidup. Itulah kelebihan bunga dalam menonjolkan keserian sesuatu kawasan itu. Diharapkan Floria 2012 ini dapat menarik dan menanam minat pengunjung untuk menikmati keindahan bunga (semestinya bukan bunga kertas sahaja) dan landskap.



Pameran gubahan dari Myanmar.

Anggerik masih menjadi daya tarikan utama pengunjung.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon